suria

Lelaki Bakar Diri Hingga Mati Lepas Gaduh Dengan Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang pengendali jentera penggorek telah membakar dirinya dengan petrol selepas bergaduh dengan isterinya.

Yap Sai Chew, 45, mati akibat lecur pada badan di hadapan rumah ibu mertuanya di Taman Bukit Maluri, Kepong, pada Khamis.

Adalah difahamkan, Yap telah mencurah dua botol berisi petrol ke seluruh badannya sebelum membakar dirinya dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu.

Menurut abang ipar mangsa yang bernama Liew ,40, Yap datang ke rumah ibu mertuanya pada lebih kurang jam 10 pagi untuk bertemu dengan isterinya.

Sebelum itu pasangan suami-isteri itu telah bergaduh yang menyebabkan isteri Yap kembali ke rumah ibunya. Mereka tinggal berdekatan.

Bagaimanapun, Liew berkata, mereka sekeluarga tidak membenarkan Yap memasuki rumah tersebut walaupun dia mengetuk pintu rumah tersebut tanpa henti.

Yap meninggalkan rumah tersebut selepas hampa tidak dibenarkan masuk.

Namun demikian, tidak lama kemudian Yap kembali pada lebih kurang jam 11.30 pagi sambil menjerit-jerit di luar rumah dan selepas itu membakar dirinya sampai mati.

Mayat Yap kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Artikel Lain