suria

Lans Koperal Didakwa Pukul Isteri

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tuduhan memukul isterinya dengan menggunakan mangga besi dan kasut but.

Arman Rosdi, 37, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Septi Harianti,23, yang merupakan seorang warga Indonesia pada pukul 8.40 pagi, 9 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah kediaman mereka yang terletak di nombor 23B-2-4, Perumahan Polis Desa, Tasik Sungai Besi, Cheras, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Difahamkan Septi masih menerima rawatan di hospital kerana mengalami lebam di seluruh badan serta kecederaan serius di kepala.

Arman juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 506 kanun yang sama kerena didakwa menggugut mangsa pada hari dan di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Hafizza Sauni tidak membenarkan tertuduh dibebaskan jaminan sehingga mangsa mendapat perlindungan bagi menjamin keselamatannya.

Kes akan disebut semula pada 14 Jun depan untuk tertuduh melantik peguam.

Artikel Lain