suria

Dua Orang Termasuk Rakyat Malaysia Maut Dalam Letupan Di Singapura

SINGAPURA: Dua pekerja termasuk seorang rakyat Malaysia maut dalam satu insiden letupan di sebuah limbungan kapal di Benoi Road Khamis.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata insiden itu membabitkan sebuah tongkang yang sedang diselenggarakan di limbungan itu.

Saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia melaporkan seorang jurucakap SCDF sebagai berkata bahawa kedua-dua mangsa itu disahkan mati oleh ahli paramedik di tempat kejadian.

Kementerian Tenaga Manusia telah mengenal pasti mereka sebagai seorang rakyat Malaysia berumur 43 tahun dan seorang warga Bangladesh, 20.

Siasatan awal menunjukkan bahawa mereka sedang bekerja di tongkang itu semasa letupan itu, kata kementerian itu.

Beberapa orang pekerja yang berada di kawasan limbungan itu turut cedera ringan akibat kejadian itu tetapi tiada seorang pun yang menerima rawatan di hospital.

SCDF dan polis berkata mereka menerima panggilan mengenai insiden itu 1.30 tengah hari. SCDF menghantar dua jentera bomba, dua motosikal bomba, sebuah ambulans dan kenderaan sokongan ke tempat kejadian.

Seorang saksi memberitahu Channel NewsAsia, letupan itu memecahkan beberapa panel kaca di pejabatnya yang terletak di seberang jalan.

Ia juga menyebabkan panel siling runtuh.

Saksi itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mandy berkata ia merasai gegaran akibat letupan itu.

Seorang lagi saksi, Adrian Lee,34, yang berada di kawasan itu kerana menghadiri mesyuarat kira-kira empat blok dari tempat kejadian berkata beliau melihat orang ramai melarikan diri selepas letupan menyebabkan sebuah bumbung runtuh. - BERNAMA

Artikel Lain