suria

Dr Zulkefli Hassan Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UKM

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru berkuatkuasa Isnin ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Mazlan Ahmad.

Pelantikan Dr Zulkefli menerusi surat oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bertarikh 7 April lepas, adalah untuk tempoh tiga tahun sehingga 15 Mei, 2014, menurut kenyataan UKM pada Khamis.

Dalam surat itu, Mohamed Khaled menjelaskan pelantikan Dr Zulkefli mampu membawa UKM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Dr Zulkefli, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana dari Universiti Bradford dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Manchester.

Beliau pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPT dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha KPT pada 8 Disember 2005 sehingga persaraannya tahun ini.- BERNAMA

Artikel Lain