suria

PAS: Jangan Percaya Laporan Blog

KUALA LUMPUR: Laporan berita dan pendedahan menerusi laman blog tidak sewajarnya dipercayai kerana ketepatannya boleh dipertikaikan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Menurut beliau, kesahihan laporan blog boleh diragui kerana ia ditulis tanpa menggunakan sumber tepat hingga boleh menimbulkan suasana tidak selamat di negara ini.

Malah beliau turut membidas sebuah akhbar harian yang menggunakan laporan blog sebagai sumber untuk dijadikan sebagai berita muka depan akhbar berkenaan.

"Berita dari blog tidak ada ketepatan dan kesahihan seperti yang dilaporkan.

"Tak wajar akhbar buat laporan dengan tidak menggunakan sumber yang tepat. Mereka hanya ambil daripada blog, sepatutnya blog yang guna sumber mereka (akhbar)," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan muka depan sebuah akhbar harian Sabtu lalu yang memetik pendedahan dua laman blog iaitu 'bigdog' di http://bigdogdotcom.wordpress.com/ menerusi entri bertajuk Making Christianity the official religion? dan blog 'Marahku' di http://marahku.blogspot.com.

Akhbar berkenaan kemudiannya menyiarkan berita dengan tajuk 'Kristian agama rasmi?' yang dipetik menerusi kedua-dua blog tersebut mengenai dakwaan wujudnya pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang baru-baru ini dan mereka berikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Selain itu Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap blog dan akhbar berkenaan.

"Blog itu sepatutnya perlu diambil tindakan, seperti mana yang perlu diambil terhadap akhbar tersebut.

"KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu gantung Utusan Malaysia sebagai menggambarkan bahawa kita serius kepada laporan yang mengundang keadaan yang tidak harmoni. Mereka perlu diberikan pengajaran," katanya.

Artikel Lain