suria

Lelaki Warga Iran Dituduh Edar Dadah

KULAIJAYA: Seorang lelaki rakyat Iran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, terhadap tuduhan mengedar 4,550 gram dadah jenis syabu, bulan lepas.

Masood Abbasitorghi Alireza, 22, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pengambilan bagasi ketibaan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, dekat sini, kira-kira pukul 4.45 petang, 27 April lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Masood hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar, namun tiada pengakuan direkodkan.

Zaiton menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia berkaitan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya A. Karthiyayini manakala tertuduh diwakili peguam Pritam Singh Doal. -BERNAMA

Artikel Lain