suria

Kerani Hospital Maut Rempuh Belakang Lori

TAPAH: Seorang Kerani wanita terbunuh apabila kereta yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori di Km 1 Jalan Tapah-Changkat Petai di sini, Rabu.

Noor Fadilah Mohamed Isa, 27, berasal dari Tapah Road, di sini cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Roslan Bek Ahmad berkata ketika kejadian pada pukul 6.40 pagi, Noor Fadilah yang memandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Slim River.

"Kereta yang dipandu mangsa merempuh belakang lori di hadapannya yang tiba-tiba membuat pusingan U," katanya di sini, Rabu.

Sementara itu, Roslan berkata polis menahan lima pengusaha premis berusia dalam lingkungan 40-an dalam serbuan ke empat premis judi komputer haram di pekan Bidor, semalam.

Turut ditahan dalam serbuan yang berakhir malam tadi itu ialah 14 lelaki berusia antara 21 dan 57 tahun kerana terbabit dalam kegiatan judi haram di premis berkenaan.

Polis turut merampas 54 komputer dalam premis berkenaan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain