suria

Kerajaan Puas Hati Pencapaian NKRA Pengangkutan Awam - Abdul Rahim

KOTA KINABALU: Kerajaan berpuas hati dengan hasil dan pencapaian memberangsangkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pengangkutan awam sejak ia dilaksanakan pada Julai 2009, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Pencapaian NKRA itu, katanya mencapai objektif yang ditetapkan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan, yang merupakan peneraju kepada bidang itu, mendapati berlaku peningkatan peratusan penggunaan pengangkutan awam berbanding pengangkutan persendirian pada waktu puncak daripada 10 peratus pada tahun 2009 kepada 17 peratus atau 236,412 pengguna tahun lepas.

Abdul Rahim berkata menurut jangkaan, ia akan mencapai 21 peratus pada tahun ini dan seterusnya 25 peratus menjelang tahun 2012. "Penyumbang utama kepada kenaikan ini adalah berikutan pelbagai inisiatif yang dilaksana termasuk penambahan kapasiti empat set keretapi enam gerabak menjadikannya 24 gerabak bagi laluan LRT (Transit Aliran Ringan) Kelana Jaya (Kuala Lumpur) dengan jumlah penumpang bertambah seramai 2.6 juta," katanya kepada Bernama, di sini, Rabu.

Selain itu, katanya pengenalan lima perkhidmatan bus ekspres transit (BET) telah menarik 1,500 penumpang setiap hari.

Abdul Rahim berkata kerja penambahbaikan 634 stesen bas turut menarik minat penggunaan perkhidmatan bas di kalangan orang ramai. -BERNAMA

Artikel Lain