suria

PAS: Tidak Mungkin Bukan Islam Jadi Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: PAS tidak menentang pelantikan Perdana Menteri di kalangan bukan Islam kerana ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, perkara tersebut tidak mungkin berlaku kerana orang Islam merupakan majoriti rakyat di negara ini.

"Perlembagaan tidak menghalang, ini bukan isu PAS pendirian PAS atau tidak kerana PAS tidak boleh menghalang Perlembagaan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan berita dalam laman blog bahawa majlis perjumpaan paderi seluruh negara di Pulau Pinang beberapa hari lalu, membincangkan agenda menjadikan Kristian agama rasmi Persekutuan, sekali gus melantik Perdana Menteri di kalangan penganut agama itu.

Selain itu menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga, isu kononya orang Melayu mahupun Islam akan hilang kuasa tidak timbul kerana majoriti kepimpinan negara ini masih lagi diterajui oleh kaum berkenaan.

"Kerusi yang ditandingi DAP dan MCA hanya kerusi majoriti orang Cina manakala kerusi majoriti orang Melayu ditandingi PAS dan Umno. Kalau Umno kalah, PAS menang dan kalau PAS kalah, Umno menang.

"Jadi tak akan ada masalah kononya akan ada orang bukan Melayu atau bukan Islam boleh jadi Perdana Menteri selagi jumlah majoriti memihak kepada orang Islam," katanya.

Artikel Lain