suria

Keldai Dadah: Polis Selamatkan Dua Pelajar Wanita

SHAH ALAM: Polis menyelamatkan dua pelajar wanita sebuah kolej daripada dijadikan keldai dadah oleh satu sindiket antarabangsa yang didalangi dua lelaki warganegara Nigeria dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Puchong dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 2 pagi itu, polis menemui dua wanita berusia 21 tahun berkenaan yang dikurung dalam sebuah bilik di pangsapuri berkenaan. "Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan enam ketulan kapsul dan dua paket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis heroin gred tinggi seberat 372 gram bernilai RM28,000. Polis turut menemui satu ketulan daun mampat dipercayai ganja seberat 70 gram bernilai RM700," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Serbuan itu dilakukan hasil maklumat risikan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, dua lelaki warganegara Nigeria berusia 27 dan 28 tahun yang merupakan pelajar sebuah kolej berhampiran itu memperdayakan mangsa dengan menawarkan percutian secara percuma ke Macau, China.

Katanya, kedua-dua wanita tempatan terbabit yang bertemu dengan lelaki Nigeria berkenaan melalui perkenalan di sebuah kedai makan bersetuju dengan pelawaan itu dan pergi ke pangsapuri suspek sebagai persiapan sebelum berlepas pada 7 Mei lepas.

"Sebaik tiba di pangsapuri berkenaan kedua-dua wanita terbabit dipaksa menelan kapsul berisi dadah untuk diseludup ke China namun kedua-dua mereka enggan melakukannya dan menyebabkan mereka dikurung," katanya.

Nordin berkata polis turut menahan seorang lagi wanita tempatan yang bekerja sebagai pereka grafik dipercayai mempunyai hubungan dengan dua suspek warga Nigeria terbabit di pangsapuri berkenaan pada hari yang sama.

"Kita menahan wanita terbabit yang datang ke pangsapuri itu dan merampas tiket serta jadual penerbangan untuk kedua-dua mangsa ke China bertarikh 7 Mei 2011," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi pengedaran dadah dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.

Mengulas lanjut, Nordin meminta semua pihak supaya berhati-hati dan tidak terpedaya sehingga dijadikan keldai dadah oleh sindiket antarabangsa di negara ini yang mempunyai pelbagai helah dan janji manis termasuk menawarkan ganjaran mewah.

"Saya nasihatkan kepada semua terutamanya wanita supaya hati-hati. Seperti kes dua wanita ini mereka baru kenal dengan suspek tidak sampai sebulan dan mudah percaya dengan tawaran yang dibuat, mereka beruntung kerana sempat diselamatkan," katanya.

Dalam kes berasingan, Nordin berkata pada 5 Mei lepas, polis menahan dua beradik warganegara Iran berusia 22 dan 25 tahun yang membawa lapan paket dipercayai dadah jenis syabu seberat empat kilogram bernilai RM1 juta.

Beliau berkata kedua-dua wanita itu ditahan sebaik tiba dari Tehran, Iran, di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang dekat sini, kira-kira pukul 11.30 pagi, selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik pemeriksaan kita dapati kedua-dua mereka memakai bengkong di dalam pakaian mereka di mana bengkong itu mengandungi ruang khas yang siap dijahit bagi menyembunyikan paket dadah jenis Syabu yang dibawa," katanya.

Nordin berkata suspek berusia 25 tahun itu yang bekerja sebagai jurugambar pernah masuk Malaysia awal tahun ini manakala adiknya yang baru berkahwin pertama kali datang ke negara ini.

Beliau berkata kedua-dua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, katanya polis juga mengenal pasti sindiket dadah dari Iran itu kini menukar modus operandi mereka dengan memilih LCCT dan lapangan terbang di negeri yang mempunyai penerbangan antarabangsa untuk masuk ke negara ini berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. - BERNAMA

Artikel Lain