suria

Dua Lelaki Ditahan, Kes Samun Selesai Satu Jam

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang melakukan samun ke atas sebuah rumah di Taman Muda, Ampang dekat sini, berjaya ditahan polis dalam tempoh satu jam selepas suspek melakukan kegiatan itu pada Selasa.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kedua-dua suspek yang berumur 35 tahun itu ditahan dalam satu operasi pemeriksaan kenderaan di kawasan berhampiran kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Anggota polis yang bertugas dalam operasi itu menahan motosikal jenis skuter yang dinaiki kedua lelaki terbabit, bagaimanapun seorang daripadanya yang juga pembonceng motosikal cuba melarikan diri untuk mengelak dari diperiksa," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, berlaku pergelutan antara suspek dan polis namun kedua-dua suspek berjaya diberkas.

"Siasatan ke atas mereka mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan polis juga menemui sebilah pisau di sisi pinggang pembonceng dan parang pada pinggang penunggang," katanya. Turut ditemui ialah dua telefon bimbit dan satu dompet wanita.

Amiruddin berkata soal siasat yang dibuat ke atas kedua-dua suspek juga mendapati mereka telah melakukan samun ke atas sebuah rumah di Taman Muda.

"Suspek-suspek itu mengaku mereka telah melakukan samun di kawasan perumahan berkenaan dan kita juga telah menerima laporan kes samun yang dibuat mangsa (samun) kira-kira pukul 11 pagi tadi," kata Amiruddin.

Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau yang membabitkan kes samun dan dadah.

Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata. - BERNAMA

Artikel Lain