suria

Polis Tahan Lelaki Dan Rampas Heroin Hampir 1Kg

KULIM: Polis menahan lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan merampas heroin seberat hampir satu kilogram berhampiran Taman Merak, Sungai Ular, di sini Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Baharom Othman berkata suspek berusia 21 tahun dan berasal dari Kuala Ketil, Baling itu diberkas pada 3 pagi dalam operasi cegah jenayah.

Katanya suspek yang sedang menunggang motosikal dilihat dalam keadaan mencurigakan dan apabila diekori polis, dia memecut tetapi berjaya dipintas selepas 50 meter apabila motosikalnya terbabas.

"Polis menemui 600 paket kecil plastik berisi heroin seberat 985 gram diisi dalam satu uncang plastik, dalam bakul motosikal yang ditunggangi suspek," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Polis percaya suspek merupakan seorang pengedar dan mendapat bekalan dadah dari Pulau Pinang, katanya.

Baharom berkata suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Artikel Lain