suria

Pemuda PAS Tetap Mahu Parti Itu Kekal Bersama Pakatan Rakyat

PETALING JAYA: PAS memilih untuk terus kekal bersama Pakatan Rakyat kerana parti-parti komponen dalam pakatan itu seperti DAP sudah boleh bertolak ansur dengan agenda PAS, demikian menurut Ketua Dewan Pemudanya, Nasrudin Hassan Tantawi.

Beliau menegaskan, tiada sebab yang memerlukan mereka untuk memutuskan kerjasama yang terjalin selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya Umno keluar dari Barisan Nasional (BN) demi memperjuangkan agama dan bangsa.

"Berdasarkan hujah yang sama, kami menggesa Umno meninggalkan BN. Apa yang kita lihat pada hari ini, BN tegar menentang Islam.

"Sebagai contoh parti komponen BN, MCA masih tidak dapat menerima Islam meskipun sudah bersama-sama selama 50 tahun," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Menurutnya, DAP sudah boleh bertolak-ansur dengan agenda PAS yang memperjuangkan nasib orang Melayu, perubahan ketara yang dapat dilihat berbanding ideologi politik mereka 20 tahun lalu.

"Jika dulu mereka menentang Islam, tapi selepas bekerjasama, kami sedari mereka sudah berubah. Kami dibenarkan untuk membincangkan isu agama dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tahun lalu," jelasnya.

Justeru, Nasrudin menyangkal desas-desus yang sering mengaitkan PAS sebagai kuda tunggangan DAP untuk memperkukuhkan penguasaan politik mereka.

"Kami tiada masalah untuk terus bekerjasama dan mustahil bagi kami untuk keluar daripada pakatan ini," katanya.

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa PAS supaya tidak bersekongkol dengan PKR dan DAP demi kepentingan Islam.

Walaupun PAS masih mahu bertanding menentang Umno, Dr Mahathir berkata, biarlah parti itu tiada hubungan dengan Pakatan Rakyat.

Artikel Lain