suria

Najib Minta Semua Pihak Bertenang Dan Tidak Eksploitasi Isu Agama

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeksploitasi isu agama yang sedang dilaporkan dalam media Malaysia.

"Tolong bertenang sehingga kami mencari faktanya. Ia (mengeksploitasi) tidak akan memberi manfaat kepada sesiapa pun. Siapa saja sama ada pembangkang atau pro kerajaan, mereka tidak boleh dan tidak sepatutnya mengeksploitasi isu ini," katanya kepada wartawan Malaysia di sini selepas Sidang Kemuncak Asean ke-18 di sini Ahad.

Perdana Menteri yang diminta mengulas isu mengenai adanya pihak sedang berusaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia, berkata kerajaan akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu dan semua pihak tidak harus membesarkan cerita kerana ia boleh menjadi api dalam sekam.

"Kalau kita tak bendung, ia boleh menjadi unsur polarisasi yang serius dalam masyarakat kita," katanya.

Najib berkata agama merupakan perkara yang sensitif dan semua pihak dalam negara mesti menjaga keadaan supaya tidak ada sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat.

"Malaysia berpegang kepada peruntukan perlembangan, maknanya Islam ialah agama rasmi Malaysia dan di samping itu agama-agama lain bebas dianuti.

"Ini merupakan prinsip penting yang telah dijadikan sendi utama dalam pembentukan negara Malaysia yang tidak boleh dipersoalkan.

"Kalau ada sesiapa yang cuba menggugat ketenteraman negara, kita tak akan benarkan perkara ini berlaku sebab yang penting ialah keharmonian dalam negara kita," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain