suria

Kes Saman Fitnah Taib Terhadap Malaysiakini Diteruskan Di Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA: Kes saman fitnah oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud terhadap portal berita, Malaysiakini, akan diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Isnin membatalkan permohonan kebenaran Taib untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membuang hanya satu daripada empat perenggan pernyataan pembelaan Malaysiakini.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff serta Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff memerintah Abdul Taib membayar kos guaman RM10,000 kepada portal berita itu dan defendan bersama, ketua pengarang Steven Gan.

Pada 3 Januari lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian daripada rayuan Abdul Taib.

Mahkamah Rayuan membatalkan salah satu daripada empat perenggan yang dipohon oleh Abdul Taib untuk dibuang daripada pernyataan pembelaan, iaitu perbuatan saman itu menyalahkan proses mahkamah.

Tiga lagi perenggan dalam pernyataan pembelaan dikekalkan iaitu berkaitan justifikasi penyiaran artikel itu, ulasan pembaca dan perkapalan Archipelago yang didakwa dikaitkan dengan keluarga ketua menteri itu.

Pada 28 Mei, 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan Abdul Taib supaya dibuang empat perenggan daripada pernyataan pembelaan Malaysiakini selepas memutuskan perenggan-perenggan itu mengandungi fakta yang relevan kepada pembelaan.

Pada 2007, Abdul Taib memfailkan saman berkenaan setelah portal berita secara dalam talian itu menyiarkan 12 artikel dari 6 April hingga 3 Mei 2007, yang didakwa mengandungi perkataan yang memfitnah beliau.

Beliau mendakwa, artikel berkenaan berbaur fitnah apabila mengaitkan beliau dengan pengumpulan wang secara tidak sah berjumlah RM32 juta melalui kegiatan yang bercanggah dengan undang-undang berhubung perniagaan balak di Sarawak dan boleh didakwa kerana melakukan jenayah.

Abdul Taib menuntut ganti rugi umum dan teruk, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.- BERNAMA

Artikel Lain