suria

Kerajaan Timbang Dasar Sesuai Derma Organ - Liow

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menimbang dasar yang sesuai untuk pendermaan organ selepas kematian sekiranya jumlah penderma organ di negara ini semakin berkurangan pada masa depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bagaimanpun perkara itu tidak perlu pada masa sekarang memandangkan jumlah pengikrar penderma organ di negara ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata seramai 147,000 orang telah berikrar untuk menjadi penderma organ sehingga tahun lepas iaitu 59 peratus pengikrar berbangsa Cina, 24 peratus India dan 16 peratus Melayu.

"Sesetengah negara seperti Singapura mengggunakan dasar 'opt-out' iaitu semua rakyat perlu menderma kecuali kalau ada yang tidak mahu menderma mereka perlu tulis surat yang mengatakan mereka tak mahu menderma.

"Tapi negara kita (gunakan) polisi 'opt-in' iaitu kalau nak menderma baru kita tulis surat (berikrar), ini juga dipraktikkan oleh banyak negara, kita akan menimbang kalau situasi mendesak sangat kita kena tengok apa polisi yang sesuai untuk negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis 'Caring and Sharing' di Buddhist Maha Vihara, Brickfields, di sini Ahad.

Liow berkata halangan keluarga menjadi antara faktor pendermaan organ tidak dapat dilakukan oleh pengikrar penderma pada saat-saat akhir.

"Oleh itu kita minta orang ramai mempunyai komitmen terhadap perkara ini dan menyedari bahawa organ-organ ini penting untuk menyelamatkan satu lagi nyawa yang amat memerlukannya.

"Lebih 6,000 kematian akibat kemalangan setahun di negara kita, tetapi hanya sebilangan kecil (daripada jumlah itu) yang menderma, kerana kesedaran tidak tinggi, jadi kita perlu meningkatkan kesedaran ini untuk membantu pesakit yang menunggu organ ini," katanya.

Beliau juga menasihatkan pesakit yang memerlukan organ melakukan transplantasi di hospital dalam negara dan mendapatkan sumbangan organ daripada keluarga atau saudara mara terdekat.

"Apa yang kita bimbang mereka (pesakit) ke hospital yang tidak diiktiraf di luar negara dan menyebabkan masalah komplikasi selepas transplantasi dibuat dan ini akan menyebabkan banyak masalah selepas itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain