suria

Kelindan Maut Apabila Lori Rempuh Treler Rosak

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera parah apabila lori yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar belakang sebuah treler rosak di lorong kecemasan di Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Taman Metropolitan, Kepong, dekat sini, pada Isnin.

Ketua Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian pukul 3.50 petang itu, G. Ganaperakash, 38, mati di tempat kejadian selepas lori lima tan yang dinaiki dari arah Bulatan Batu Caves menghala ke Selayang merempuh treler tersebut.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu terbabas lalu merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler yang rosak itu," katanya kepada Bernama menerusi satu khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan paha manakala pemandu lori menerima rawatan di Hospital Selayang.

"Bagaimanapun pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987," katanya.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh dua kilometer dari Bulatan Batu Caves hingga ke tempat kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain