suria

Hina PM, Anwar Perlihat Budaya Politik Yang Diamalkannya - Setiausaha Agung Umno

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan gelaran menghina dalam insiden terbaru di Klang menggambarkan budaya politik Ketua Pembangkang itu secara nyata.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno kesal dengan sikap Anwar yang menyamakan musuh politiknya dengan gelaran binatang.

"Saya tak faham kenapa beliau guna perkataan-perkataan sedemikian rupa. Saya kecewa dengan kenyataan sedemikian, jangan bagi gelaran yang bukan-bukan kepada orang.

"Tolong jadi orang yang lebih matang," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Tengku Adnan mengulas mengenai kenyataan Anwar dalam satu majlis di Klang pada Sabtu lalu yang menggelar Najib sebagai 'pandikutti' dalam bahasa Tamil yang bermaksud 'anak babi'.

Ditanya sama ada Anwar wajar memohon maaf terhadap Najib yang juga presiden Umno, Tengku Adnan berkata, ia hanyalah sesuatu yang sia-sia.

"Tak guna minta permohonan maaf daripada orang yang macam ini," ujarnya.

Selain itu Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, Anwar sepatutnya melihat kekurangan dirinya sendiri sebelum menghina orang lain dengan pelbagai gelaran.

"Sebelum kita panggil orang dengan gelaran tertentu, kita kena tengok diri kita dulu baik atau tidak baik.

"Masalahnya dengan Anwar, beliau tak tengok dirinya dalam cermin, sebab itu tak sedar diri," katanya.

Artikel Lain