suria

Bekas Banduan Ditahan Lagi Kerana Menipu

KOTA BARU: Kelicikan seorang bekas banduan melakukan kegiatan penipuan dengan menggunakan nama orang kenamaan tidak bertahan lama apabila dia akhirnya ditangkap polis petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Baharu Supt Idris Abd Rafar berkata suspek yang berumur 29 tahun dan baru lima bulan dibebaskan dari penjara ditahan di sebuah hotel di sini pada 2 petang semalam.

"Suspek dikatakan telah pergi ke hotel berkenaan dan meminta kunci sebuah bilik hotel dan wang tunai RM100 yang didakwanya atas arahan pemilik hotel.

"Bagaimanapun pekerja hotel berkenaan yang curiga, kemudian menghubungi pemilik hotel untuk memaklumkan tentang kehadiran suspek dan pemilik hotel kemudian menafikan beliau ada mengeluarkan arahan itu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Katanya hasil laporan daripada pemilik hotel itu pihak polis segera melakukan gerakan mengesan mangsa dan berjaya menahan mangsa di bilik hotel berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam hotel juga mendapati sebuah TV LCD telah hilang dan siasatan awal kemudian menemui LCD itu disimpan di dalam kenderaan jenis Pajero yang disewa suspek.

"Dengan penahanan suspek ini kita percaya enam kes penipuan melibatkan kerugian RM24,000 yang dilaporkan di sekitar bandar ini dapat diselesaikan bagaimanapun kita percaya masih ramai individu yang telah tertipu dengan suspek tetapi tidak membuat laporan polis dan kita minta mereka tampil membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata suspek dari Taman Uda Murni di sini sebelum ini pernah dipenjarakan selama tiga tahun dan dikenakan dua sebatan atas kes penipuan.

Idris berkata suspek sebelum ini dipercayai memperdaya mangsanya dengan menyamar sebagai orang kenamaan dan individu berpengaruh antaranya sebagai pembantu peribadi kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama empat hari dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan sebatan.- BERNAMA

Artikel Lain