Polis Tahan Pelajar Dua Beradik Disyaki Curi Motosikal - Semasa | mStar

Polis Tahan Pelajar Dua Beradik Disyaki Curi Motosikal

KOTA BARU: Polis Daerah Kota Baharu menahan dua pelajar adik-beradik kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar berkata kedua-dua beradik itu ditahan di rumah mereka di Kampung Batu 6 Pengkalan Chepa, dekat sini, dua hari lepas.

Idris berkata dengan tertangkapnya dua pelajar berumur 17 dan 18 tahun itu, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes melibatkan kecurian motosikal di negeri itu melibatkan kerugian RM60,000.

"Kegiatan kumpulan curi itu menggunakan modus operandi dengan meleraikan motosikal yang dicuri untuk dijual komponennya kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Ahad.

Idris berkata berikutan tertangkapnya dua suspek itu polis menjumpai pelbagai komponen motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha RXZ yang telah dileraikan.

Katanya kedua-dua mereka yang melakukan perbuatan itu sejak empat bulan lepas ditahan reman sejak semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata cawangan siasatan jenayah daerah itu menahan 20 orang yang disyaki terlibat dalam 513 kes kecurian motosikal sejak Januari lepas.

Menurutnya kebanyakan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A/411 Kanun Keseksaan iaitu mencuri motosikal dan memiliki barangan curi. BERNAMA

Artikel Sebelum

PM Ucap Selamat Hari Ibu

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan