suria

Transformasikan Politik Umno Untuk Terus Relevan - Hishammuddin

BESUT: Umno perlu melakukan transformasi politik yang lebih berani dan drastik dalam memastikan parti itu terus relevan dengan suasana politik semasa dan diterima orang ramai.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam masa yang sama Umno juga perlu meneruskan tradisi mendengar rintihan dan tuntutan rakyat serta melunaskan tuntutan mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh dan wakil Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Terdahulu Hishammuddin yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri dalam ucapan peramiannya, berkata pemimpin dan anggota Umno perlu bangkit mengukuhkan perjuangan parti dan bersedia untuk berdepan parti lawan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata kebangkitan itu wajar ketika parti dalam pakatan pembangkang kini diancam keretakan dan pergolakan sesama mereka.

"Kita tak takut pada PAS, mereka dah berpecah-belah. Ini menunjukkan betapa rapuhnya mereka untuk menghadapi BN (Barisan Nasional) yang memang berani, ikhlas dan jujur dalam membela nasib bangsa dan tanah air," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain