suria

SNAP Akhirnya Berpisah Daripada Pakatan Pembangkang

KUCHING: Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang menjalin hubungan singkat dan renggang dengan Pakatan Rakyat (PR) Sarawak akhirnya berpisah selepas sekian lama bersabar dengan sikap dingin pakatan pembangkang negeri terutama ketika menghadapi pilihan raya Sarawak ke-10 baru-baru ini.

Presiden parti Edwin Dundang berkata parti itu merasakan mereka tidak lagi diterima dalam pakatan itu selepas setahun hubungan "cinta tetapi benci" dengan PR Sarawak yang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

"Bukan pilihan kami untuk meninggalkan mereka... bagaimanapun kami merasakan kami tidak lagi diterima dalam pakatan itu, terutama dalam pilihan raya negeri.

"Sehubungan itu, kami tidak akan berdamai dengan PR Sarawak bermula dari sekarang," katanya kepada Bernama di sini hari ini dan menambah parti itu merasakan yang mereka diketepikan oleh pakatan pembangkang itu semasa pilihan raya negeri 16 April.

"Kami tidak pernah dijemput untuk menghadiri mesyuarat atau sebarang aktiviti bersama. Ini menunjukkan mereka tidak mahu kami lagi dan mahu meminggirkan kami," katanya dan memaklumkan kali terakhir SNAP menghadiri mesyuarat PR Sarawak pada Mac lepas berhubung pembahagian kerusi pilihan raya negeri.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng enggan memberi komen berhubung keputusan SNAP itu manakala Ketua PKR negeri Baru Bian tidak dapat dihubungi.

Pada April tahun lepas, parti kaum Dayak itu menyertai PR dan membentuk PR Sarawak. Bagaimanapun, sebelum pilihan raya negeri, SNAP dan PKR berselisih faham berhubung pembahagian kerusi.

Ini menyaksikan SNAP, PKR dan BN bertembung di 24 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Semua 26 calon parti itu kalah teruk terutama di kawasan luar bandar, dengan parti itu pernah mendakwa merupakan kawasan kubu kuat mereka.

Kecuali Toh Heng San yang bertanding di kawasan Katibas, 25 lagi calon SNAP hilang deposit dalam pilihan raya itu.

SNAP ditubuhkan pada 10 April 1961 dan telah menganggotai komponen BN sehinggalah ia disingkirkan pada 2004. Parti itu bertanding pada pilihan raya umum 2004 dan pilihan raya negeri Sarawak 2006 sebagai parti pembangkang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain