suria

Sambutan Terhadap Sistem Muamalat Dan Perbankan Islam Menggalakkan

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sistem muamalat dan perbankan Islam kini sudah diterima ramai termasuk di kalangan masyarakat bukan Islam.

Katanya, masyarakat bukan Islam yang suatu ketika dahulu tidak begitu yakin dengan sistem perbankan Islam kini semakin menerimanya, termasuk sistem pajak gadai Islam yang menghapuskan amalan riba yang diharamkan Islam.

"Sebagai contohnya, banyak pajak gadai Islam tumbuh seperti cendawan, termasuk yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Persekutuan, seperti Ar-Rahn atau Ar-Rahnu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Muamalat dan Perbankan Islam peringkat Kebangsaan, di Kelantan Trade Center di sini, Sabtu.

Seminar sehari membabitkan lebih 200 anggota akademik, korporat dan pelajar itu dianjurkan Jabatan Muaamalat Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dengan kerjasama Bank Muaamalat Berhad.

Nik Aziz berkata, memandangkan sambutan masyarakat majmuk menggalakkan terhadap sistem muamalat dan perbankan Islam tidak ada sebab sistem pajak gadai secara konvensional atau riba tidak dapat dihapuskan di negara ini.

Katanya, ketika ini Kelantan mempunyai 25 premis yang mengamalkan sistem pajak gadai Islam atau Ar-Rahn dan masih banyak permohonan diterima untuk mengendalikan premis itu di seluruh negeri sejak diperkenalkan 20 tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain