suria

Rampasan 41.8 Tan Metrik Minyak Masak Subsidi Bernilai RM71,060

PELABUHAN KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Sabtu berjaya mematahkan cubaan mengeksport 41.8 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM71,060 oleh sebuah syarikat pengeksport barangan di Bandar Armada Putra, Pelabuhan Barat di sini. Penolong Pengawal Bekalan KPDNKK Putrajaya Nazarrudin Zainudin berkata rampasan itu merupakan yang terbesar yang dicapai oleh kementerian itu bagi tahun ini.

Pihaknya juga turut menahan pemandu lori terbabit beserta seorang penjaga premis syarikat itu bagi membantu siasatan, katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.

Nazarrudin berkata bertindak atas maklumat yang diterima daripada tiga kilang pemprosesan minyak masak Isnin lepas, pihaknya telah menahan sebuah lori tangki bermuatan minyak masak bersubsidi yang dihantar kepada premis syarikat itu kira-kira 11 pagi ini.

"Ketika serbuan sebanyak 70 peratus minyak telah dipindahkan. Minyak masak ini diambil daripada kilang pemprosesan minyak dan selepas itu mereka bungkus mengikut jenama mereka sendiri," katanya dan menambah minyak itu telah diproses untuk dibungkus dalam bekas berwarna kuning bagi tujuan pengeksportan.

"Syarikat ini tidak sepatutnya mendapat minyak bersubsidi untuk dieksport kerana nilai minyak masak subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan ialah RM1,700 per tan metrik manakala nilai semasa minyak masak yang sepatutnya dibeli oleh pengeksport ialah RM3,500 per tan metrik, kata Nazarrudin.

Beliau berkata serbuan tersebut adalah hasil operasi bersepadu membabitkan penyelewengan minyak masak yang dijalankan oleh pasukan khas membabitkan KPDNKK, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Nazarrudin berkata siasatan terhadap syarikat yang dipercayai telah beroperasi lebih dari lima tahun itu dilakukan sejak penghujung tahun lepas tetapi gagal menemui sebarang bukti sehinggalah pihaknya menjalankan serbuan hari ini.

Beliau berkata siasatan turut mendapati syarikat terbabit mempunyai lesen pengeksport minyak masak daripada KPDNKK dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Most probably kita akan tarik balik lesen syarikat ini dan bagi pihak MPOB mungkin juga lesen pengeksport akan dipertimbangkan semula. Minyak yang telah dipindahkan akan dirampas oleh MPOB manakala KPDNKK pula akan tahan minyak dalam tangki untuk siasatan lanjut," katanya.

Nazarrudin berkata pihaknya akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda maksimum RM250,000 bagi syarikat dan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi persendirian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain