suria

Polis Kedah Tahan Dua Lelaki, Rampas Ganja Bernilai RM50,000

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki dan merampas 20 ketulan mampat ganja seberat 19kg bernilai RM50,000 dalam satu serbuan di hadapan sebuah kedai di Taman Tuanku Haminah, Sungai Petani malam Jumaat.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kedua-dua mereka berumur 34 dan 44 tahun ditahan pada pukul 9 malam dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah diketuai oleh ASP Mohd Radzi, hasil maklumat orang ramai.

Katanya dalam serbuan itu polis menemui sebuah kotak yang berisi ketulan mampat ganja diletakkan dalam bonet belakang kereta jenis Toyota LE milik suspek pertama yang hendak diserahkan kepada suspek kedua untuk dijual di selatan negara.

"Mereka juga didapati positif dadah setelah ujian air kencing dibuat," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, Sabtu.

Beliau berkata suspek pertama adalah seorang peniaga manakala suspek kedua bekerja sebagai pemandu, dan menurutnya hasil siasatan lanjut polis turut merampas dua lagi kereta jenis Toyota Hilux dan Toyota Altis milik suspek. Sementara itu Ahmad berkata suspek pertama pernah terlibat dalam kes samun manakala suspek kedua mempunyai dua rekod kesalahan mengedar dadah dan baru sahaja empat bulan dibebaskan daripada penjara atas kesalahan mengedar dadah setelah ditahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata kedua-dua mereka direman lima hari bagi membantu siasatan, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain