suria

Penubuhan Kabinet Bayangan Tidak Logik: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tindakan pakatan pembangkang Sarawak menubuhkan 'kabinet bayangan' dianggap sebagai sesuatu yang tidak munasabah untuk dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen walaupun pakatan pembangkang menunjukkan peningkatan dalam jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu.

"Atas dasar itu, saya rasa mereka tidak ada asas kukuh untuk menubuhkan 'kabinet bayangan'. Lagipun sistem dua parti tidak pernah wujud di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

"Jadi penubuhan itu hanyalah suatu bayangan saja. Perkara seperti itu tidak akan berlaku kerana ia tidak logik untuk dilaksanakan," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata rakyat di Sarawak tidak memikirkan soal kabinet bayangan yang dibentuk pakatan rakyat, sebaliknya mereka mahu melihat BN melaksanakan tanggungjawab seperti yang dijanjikan pada pilihan raya bulan lalu.

"Soal kabinet bayangan tidak penting, tapi kerajaan yang sudah terbentuk di Sarawak perlu memenuhi agenda pembangunan sosio-ekonomi seperti yang terkandung dalam manifesto BN negeri itu," katanya.

Menurut beliau, agenda itu perlu diberi tumpuan dan berharap agar rakyat di negara ini tidak terganggu dengan politik kotor pakatan rakyat.

Awal bulan ini, pakatan pembangkang di negeri itu menubuhkan 'kabinet bayangan' untuk memantau prestasi menteri dan menteri muda negeri.

Dalam barisan kabinet itu, 16 anggotanya terdiri daripada 15 wakil rakyat pembangkang dan seorang anggota PAS (Adam Ahid) yang bukan wakil rakyat.

Bagaimanapun DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bertelingkah berhubung barisan kabinet bayangan yang diumumkan Ahad lepas.

Dalam kenyataan akhbar The Star pada Sabtu, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) akhirnya memutuskan keluar dari parti itu ekoran wujud perbezaan pendapat yang tidak mungkin dapat diselesaikan.

Selepas pengumuman SNAP secara rasmi pada Jumaat, Pakatan Rakyat hanya dianggotai tiga parti iaitu DAP, PKR dan PAS.

Sementara itu, Muhyiddin menasihati rakyat supaya mengambil iktibar daripada isu kenaikan cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga 10 kali ganda yang ditetapkan Kerajaan Negeri PAS Kedah sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu.

"Tindakan itu membuktikan apa yang mampu dilakukan BN dan apa yang tidak dapat dilaksanakan kerajaan pembangkang.

"Mungkin mereka tidak ada cara lain atau kekurangan sumber untuk menyelesaikan perkara itu. Oleh itu, mereka kenakan satu kadar yang jauh lebih tinggi daripada ditetapkan kerajaan BN sebelum ini," ujarnya.

UUM sudah mengemukakan permohonan menolak permohonan untuk menyambung semula rebat cukai tanah universiti itu tetapi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri itu tetap tidak bersetuju dengan rayuan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain