suria

Pemimpin, Jentera Umno Perlu Tumpu Empat Perkara - Muhyiddin

BAGAN DATOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu menyatakan empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh para pemimpin dan jentera Umno mulai sekarang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kejayaan besar pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata perkara pertama adalah berhubung pendaftaran pemilih yang antaranya merangkumi daftar pemilih baru serta mengenali anggota Umno yang belum mendaftar supaya berbuat demikian.

"Selain itu, Umno perlu mengukuhkan setiap peringkat dalam parti serta dengan parti komponen BN untuk bergerak sebagai satu pasukan kerja yang lebih mantap. Ketiga pula, melakukan turun padang untuk membantu membela nasib rakyat dan mendengar rintihan rakyat, melakukan 'sentuhan hati' agar masalah rakyat tidak berterusan hingga parti berdepan pilihan raya umum," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di sini, Sabtu.

Katanya yang keempat, Umno perlu berusaha lebih gigih untuk memastikan perhubungan baik dapat dijalinkan antara parti dengan badan-badan yang lain dalam masyarakat seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan ekonomi merangkumi nelayan, peniaga serta pertubuhan amal dan agama.

Beliau berkata perhubungan baik itu merupakan satu jaringan strategik yang perlu diberi perhatian kerana NGO, persatuan dan pertubuhan seperti itu mempunyai anggota yang ramai dan mereka menjadi pendokong dalam perjuangan sosial dan ekonomi masyarakat di seluruh negara.

Muhyiddin berkata sekiranya Umno dapat menjalin perhubungan yang baik, beliau yakin apabila tiba pilihan raya umum nanti, sokongan daripada rakyat terhadap Umno dan BN akan meningkat.

Selain itu, beliau berkata Umno tidak akan lari daripada prinsip perjuangan untuk mengangkat martabat bangsa Melayu di negara ini.

Katanya Umno bukan sahaja akan mempertahankan prinsip perjuangan itu tetapi memastikan ia diisi dengan tindakan serta langkah sewajarnya tanpa mengabaikan hak bangsa lain.

"Ada orang kata Umno sudah lesu, sudah tidak ada suara, tidak berbuat sesuatu bila berlaku sesuatu perkara yang menyentuh orang Melayu. Jelas terbukti bahawa sejak dahulu, hari ini dan pastinya untuk selama-lamanya, selagi Umno tegak berdiri maka selagi itulah prinsip perjuangan ini terus kita pertahankan untuk mengangkat martabat orang Melayu dan rakyat Malaysia supaya negara kita maju, aman dan makmur," katanya.

Beliau berkata bagi menghadapi keadaan yang semakin mencabar berikutan perubahan landskap politik, Umno perlu memperkukuhkan dan membangunkan bidang-bidang utama supaya orang Melayu tidak berasa terabai dan dalam masa yang sama memastikan masyarakat bukan Melayu tidak berasa ditinggal dan dibiarkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain