suria

Jawatankuasa Kabinet Akan Bermesyuarat Atasi Beban Rakyat - Muhyiddin

BAGAN DATOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu mesyuarat khas jawatankuasa kabinet akan diadakan untuk mencari pendekatan terbaik menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan ekoran peningkatan harga bahan api dunia.

Timbalan Perdana Menteri berkata mesyuarat itu, yang dipengerusikannya akan diadakan dalam tempoh seminggu lagi, bagi mencari pendekatan sewajarnya untuk membantu rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang.

"Mesyuarat itu akan melihat bagaimana masalah dalam soal ekonomi yang dihadapi oleh rakyat ditangani dan diuruskan. Ini bukanlah soal yang mudah terutama soal kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barangan tertentu dilihat meningkat dengan kadar inflasi mungkin lebih tiga peratus," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Bagan Datoh di sini, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata walaupun berlaku sedikit kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta kadar inflasi, kadar peningkatan itu adalah kecil berbanding dengan apa yang sedang berlaku di negara-negara lain.

Katanya mesyuarat itu juga akan membincangkan kaedah yang mampu dilaksanakan kerajaan, swasta, sektor pengeluar dan rangkaian pembekal supaya rakyat dapat menikmati harga barangan dan perkhidmatan yang berpatutan.

"Ini adalah satu daripada perkara yang kerajaan memang sedar, masalah yang dihadapi oleh rakyat di seluruh negara. Kerajaan tidak berdiam diri dan kita akan mengambil langkah sewajarnya dan ini kita usahakan (dengan adakan mesyuarat khas)," katanya.

Mengenai masalah perumahan, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan satu skim baru semalam yang akan memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati rumah pertama berkualiti dengan harga mampu milik walaupun kos rumah meningkat di sesetengah tempat.

Muhyiddin berkata skim itu yang akan dimulakan di Wilayah Persekutuan dan Selangor, bakal diperluaskan di seluruh negara.

"Begitu juga soal lain, kita melihat juga isu berkaitan sistem pengangkutan. Semua isu ini kita ambil perhatian (untuk diatasi) supaya jangan ada isu dan masalah yang dihadapi oleh rakyat tidak kita diuruskan.

"Penting bagi kita melaksanakan (dengan mengatasi masalah) supaya rakyat tahu kerajaan bukan sahaja melihat masalah yang dihadapi tetapi kerajaan juga mengambil langkah berani dan tegas bagi menangai masalah ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain