GURUN: Umno Kedah akan menghantar surat rayuan kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk meminta kerajaan negeri meneruskan pemberian rebat cukai tanah kepada Universiti Utara Malaysia (UUM).Pengerusi Biro Pendidikan Umno Kedah Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata tindakan itu adalah untuk membantu UUM mendapatkan kembali rebat cukai tanah yang diberikan kerajaan negeri sebelum ini, sekaligus mengekalkan caj yang dikenakan terhadap UUM sebelum ini. "Kami akan menghantar surat rayuan kepada Datuk Seri Azizan sama ada esok atau Isnin supaya meluluskan permohonan rebat cukai tanah daripada UUM bagi meringankan beban UUM daripada membayar pada kadar yang tinggi sebanyak RM1.7 juta," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Sri Zaleha, NAZA, di sini Sabtu.Majlis itu disempurnakan Setiausaha Umno Negeri Kedah Datuk Othman Aziz. Seramai 486 pelajar cemerlang yang mendapat A dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan SPM tahun lepas dari seluruh negeri menerima wang tunai RM200 dan sijil.Rabu lepas, Azizan berkata Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri menolak permohonan UUM untuk menyambung semula rebat cukai tanah universiti itu dan justeru pihak universiti perlu menjelaskan bayaran pada kadar lama sebanyak RM1.7 juta atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan.Sementara itu, Othman berkata kerajaan negeri seharusnya menyokong kewujudan dan kepentingan UUM terhadap pembangunan ekonomi di negeri ini. - BERNAMA