suria

Asean Boleh Mencorakkan Pembangunan Global, Kata Najib

JAKARTA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Asean hendaklah mampu mencorakkan pembangunan global jika pertubuhan itu boleh selari dengan tema "Asean akan menunjukkan caranya".

Perdana Menteri berkata Malaysia percayai slogan itu dengan jelas perlu menterjemahkan ke dalam semua hasrat Asean agar ia akan menjadi pertubuhan contoh.

"Dengan menunjukkan cara dan daya kekuatan sebagai sebuah komuniti yang koheren, Asean hendaklah mampu untuk mencorakkan pembangunan global," katanya berucap pada sesi plenari Sidang Kemuncak Asean ke-18 di sini Sabtu.

Sesi plenari itu yang dipengerusikan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, dihadiri oleh semua pemimpin Asean kecuali Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang diwakili Menteri Kanannya Prof S. Jayakumar.

Najib berkata Malaysia juga melihat bahawa pendekatan dan langkah-langkah yang diambil dalam memajukan agenda integrasi hendaklah berorientasikan rakyat dalam pelbagai bidang.

Dengan menekankan bahawa pendidikan adalah satu elemen yang kritikal dalam Asean yang lebih berorientasikan rakyat, beliau berkata belia hendaklah digalakkan untuk melanjutkan pelajarannya di institusi pengajian tinggi di negara anggota Asean kerana ia akan membantu satu semangat persahabatan yang berkekalan di kalangan mereka.

"Malaysia mencadangkan agar menteri-menteri pelajaran Asean diberikan tanggungjawab untuk mengkaji idea bagi pemindahan kredit antara institusi pengajian tinggi di rantau ini supaya penuntut Asean mampu tinggal sekurang-kurangnya setahun dalam negara Asean lain," kata beliau.

Najib juga menggesa Asean untuk menggalakkan penerbangan tambang rendah dan penerbangan kebangsaan mengadakan lebih banyak penerbangan antara negara anggotanya kerana penerbangan tambang rendah mempunyai potensi besar dalam menghubungkan sebahagian besar rakyat Asean yang sebelum ini tidak mampu berbuat demikian.

Mengenai Asean membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2030, Malaysia, kata perdana menteri percaya bahawa sukan boleh memainkan peranan penyatuan di kalangan rakyat Asean untuk menjalin semangat Komuniti Asean, walaupun cabaran dihadapi dalam merealisasikan hasrat tersebut.

Najib juga menekankan perlunya anggota Asean mengkaji bagaimana mereka boleh membantu satu sama lain dalam jaminan tenaga khasnya menerusi projek dua hala dan multilateral untuk menjana bekalan elektrik dan tenaga menerusi kekuatan kelebihan mereka di mana sesetengah negara anggota kaya dalam sumber dan sesetengahnya pula dalam modal.

"Ini akan membolehkan rakyat mempunyai sumber bekalan elektrik yang stabil yang akan membantu mendorong pembangunan eskonomi," kata beliau.

Mengenai isu pertikaian sempadan Thai-Kemboja, perdana menteri berkata Malaysia berpandangan bahawa ia hendaklah berkisar sebagai keluarga Asean dan negara akan terus menyokong peranan Kerusi Asean untuk memudahkan kedua-dua negara mencari penyelesaian damai terhadap pertikaian itu.

Pencegahan konflik Asean sekarang dan instrumen penyelesaian pertikaian hendaklah juga digunakan sepenuhnya, tambah Najib.

Perbincangan pada sesi plenari berpusat dalam dua agenda iaitu "Pelaksanaan Piagam Asean dan Pelan Damai untuk sebuah Komuniti Asean” dan “Pelaksanaan Pelan Induk Hubungkait Asean”. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain