suria

Rais Bakal Mohon Masuk Penghakiman

KUALA LUMPUR: Seorang penulis blog, Abdul Mutalib Mohamed Daud masih tidak memfailkan notis kehadiran di Mahkamah Tinggi di sini, setelah dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Sehubungan itu, peguam yang mewakili Rais, Norhani Nordin memberitahu, pihaknya akan memohon untuk memasukkan penghakiman sekiranya penulis blog Sabahkini.net itu masih tidak memberi respon dan gagal menghadiri prosiding mahkamah.

Norhani menambah, Pesuruhjaya Kehakiman, Amelia Amelia Tee Hong Geok Abdullah telah mengarahkan pihaknya untuk menampalkan writ saman di alamat terakhir defendan sebagai usaha terakhir untuk menyerahkan saman itu secara peribadi.

Beliau juga memberitahu, pihaknya telah memfailkan notis penggantian penyampaian pada Mac lalu melalui mengiklankan di dalam akhbar harian Sabah selama tiga hari berturut-turut bermula 13 April lalu selain turut ditampal di papan kenyataan Mahkamah Tinggi di sini.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan sebutan semula untuk mengetahui status kedudukan saman itu pada 23 Mei ini.

Rais, 69, yang juga Ahli Parlimen Jelebu memfailkan saman tersebut pada 10 Februari lalu, atas dakwaan Abdul Mutalib yang merupakan seorang penganalisi politi telah memfitnah beliau.

Selaku plaintif, Rais menuntut ganti rugi serta injunksi yang kerana didakwa telah memfitnah beliau dalam artikel bertarikh 1 Januari lalu yang bertajuk: Pak Lah halalkan rogol, UMNO halalkan zina? dan PKR cabar Rais sumpah laknat yang dipaparkan pada 3 Januari lalu.

Sementara pada 5 dan 7 Januari, defendan didakwa menyiarkan artikel berjudul: Rais Yatim seperti belut? dan Video pengakuan rakan Robengah di laman sesawang http://sabahkini.net/v1 bersama gambar plaintif.

Artikel Lain