suria

Pasukan Smart Sertai Gerakan Mencari Nur Syaza Di Ulu Bendul

KUALA PILAH: Gerakan mencari Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang masih hilang selepas dihanyutkan arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini Selasa lepas, diteruskan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Jaafar Baba berkata gerakan itu kini melibatkan 140 anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) serta unit anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Gerakan mencari ini dibahagikan kepada dua kumpulan dan pencarian hari ini dilakukan bermula dari tempat mangsa hanyut di hutan lipur itu sehingga sejauh kira-kira 6 kilometer menyusuri sungai," katanya ketika dihubungi.

Katanya usaha mencari turut dilakukan dengan mengorek kawasan berpasir di tebing sungai untuk mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Nur Syaza Sakinah bersama dua kakaknya, Nur Syaza Alisa,5, dan Nur Syaza Azira, 3, hanyut dibawa arus deras atau fenomena 'kepala air' ketika sedang mandi di kawasan perkelahan tersebut.

Bapa tiga beradik berkenaan, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 19, sempat diselamatkan oleh orang ramai.

Mayat Nur Syaza Alisa dan Nur Syaza Azira ditemui Rabu lepas. -BERNAMA

Artikel Lain