suria

Muhyiddin Pengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan

PUTRAJAYA: Tiada penyelarasan dalam perancangan acara sukan, promosi secara berasingan antara kementerian dan ketiadaan sepenuhnya produk jenama Malaysia dikenal pasti sebagai antara halangan pembangunan industri sukan negara.

Perkara berkenaan adalah antara agenda perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan ke-15 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, Jumaat.

Turut mengekang pembangunan sukan ialah penganjuran acara mega yang tidak dieksploitasi sepenuhnya selain aktiviti sukan tidak dipupuk dari peringkat awal, kata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu berkata mesyuarat juga dijangka membincangkan program yang perlu dilaksanakan KBS untuk menjayakan Tahun Industri Sukan 2011.

Antara program yang dikenal pasti ialah persidangan dan seminar seperti Konvensyen Industri Sukan, Sports Bussines Malaysia, program bual bicara, program Hari Terbuka Industri Sukan, Anugerah Industri Sukan dan kempen sukan "Team Malaysia".

Turut menjadi agenda mesyuarat ialah pemburuan pingat emas pertama Sukan Olimpik di bawah program 'Road To London 2012', yang dijangka dapat dicapai menerusi latihan jangka panjang dan bersistematik serta hubungan kerjasama erat antara kerajaan dan badan bukan kerajaan sukan kebangsaan.

Agenda lain ialah mengenai mengenai Dasar 1Murid 1Sukan yang mula diperkenalkan tahun ini, bertujuan memberi keseimbangan antara keperluan akademik dan fizikal. -BERNAMA

Artikel Lain