suria

Kes 10 Jari: Pemandu Teksi Didakwa

SELAYANG: Seorang pemandu teksi yang direman bagi membantu siasatan berhubung penemuan 10 jari di dalam sebuah plastik berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Kuang, dekat sini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Tertuduh, M. Murugan, 27, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menculik K. Munispara, 29, dengan niat untuk menzaliminya pada tengah malam, pada 24 April lalu di Jalan Besar di Rawang, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun menawarkan jaminan terhadap tertuduh pada jumlah RM10,000.

Bagaimanpun, peguam K.Theivaendran yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah tersebut dikurangkan atas dakwaan anak guamnya menanggung tiga orang anak.

Selepas mempertimbangkan rayuan itu, Majistret Nurul Hafizah Kamaludin membenarkan jaminan tertuduh pada jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan untuk tertuduh melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Pada 25 April lalu, seorang pekerja KTMB yang sedang memeriksan trek kereta api terkejut apabila menemui sebuah plastik putih yang berisi 10 jari.

Jari tersebut dipercayai dipotong kurang dari tempoh 24jam sebelum ditemui.

Pada 27 April lalu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Rahim Abdullah mengesahkan seorang pemandu teksi ditahan reman berhubung pelakuan jenayah itu selepas berada dalam keadaan yang mencurigakan.

Siasatan terhadap teksi jenis Iswara yang dipandunya mendapati terdapat kesan darah di pintu belakang sebelah kiri dan pita pelekat bewarna hijau yang dipercayai digunakan untuk menutup mata mangsa.

Adik mangsa semasa ditemui di Hospital Sungai Buloh, dekat sini memberitahu, abangkan baru dilepaskan daripada penjara dan tidak bekerja.

Artikel Lain