suria

Kabinet Bayangan Pembangkang: PAS Sarawak Puas Hati

PETALING JAYA: PAS Sarawak berpuas hati walaupun hanya diberikan peranan kecil dalam kabinet bayangan kerajaan negeri Sarawak yang didominasi sekutunya DAP.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid berkata, pihaknya berterima kasih kepada DAP kerana 'masih ingat' kepada PAS walaupun parti itu tidak memenangi sebarang kerusi daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada pilihan raya negeri yang lalu.

"Sekurang-kurangnya DAP masih ingat kepada PAS, mereka bagi juga portfolio Hubungan Antara Agama Dan Perpaduan Nasional walaupun perlu berkongsi dengan wakil PKR (Parti Keadilan Rakyat)," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengumuman kabinet bayangan Sarawak oleh pengerusi DAP negeri, Wong Ho Leng pada Ahad lalu.

Pembentukan Kabinet bayangan yang mengandungi 15 portfolio itu menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP mendominasi 12 daripadanya dengan Wong dilantik menjadi Ketua Pembangkang.

Baki tiga lagi portfolio diberikan kepada PKR dengan satu daripadanya dikongsi dengan PAS.

Senarai berkenaan memperlihatkan sikap dominan DAP dalam pembangkang selepas kemenangan besar pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Adam yang juga bekas calon bagi kerusi DUN Sebuyau berkata, ahli PAS tidak perlu bimbang kerana apa yang dilakukan DAP hanya sebagai 'bayangan' dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

Sambil beranggapan ia hanya perkara kecil yang tidak perlu dibangkitkan, Adam turut menyifatkan ia sebagai langkah baik terutama bagi menaikkan semangat jentera DAP untuk bekerja lebih keras menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Perkara ini ada eloknya juga, boleh naikkan semangat. Bukan sahaja DAP buat (kabinet bayangan), PKR pun pernah buat namun ia tidak dihebohkan di media.

"Ia hanya perkara kecil, perkara itu tak berlaku lagipun. Saya percaya kalau benar kita (Pakatan Rakyat) boleh mentadbir Sarawak, masa kita kita akan duduk berbincang dan tentukan kedudukan masing-masing," katanya.

Artikel Lain