suria

Imigresen Zon Utara Tahan 123 PATI Dalam Operasi 12 Jam

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen zon utara menahan 123 pendatang tanpa izin dalam satu operasi yang berlangsung hampir 12 jam sehingga awal hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Pulau Pinang Abdul Qader Siddiq Ahmad berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 108 lelaki dan 15 wanita berusia antara 20 dan 50 tahun.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata operasi itu yang disertai 101 pegawai dan anggota Imigresen Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak dilakukan di beberapa lokasi di sini dan Perak, susulan intipan sejak beberapa hari lepas.

"Antara rakyat asing yang ditahan dalam operasi itu ialah 47 warganegara Bangladesh, 37 warga Myanmar, 27 warga Indonesia , sembilan warga Vietnam dan tiga warga Thailand," katanya.

Abdul Qader berkata seramai 65 orang ditahan di tapak pembinaan, 47 di kilang dan 11 lagi di pusat hiburan.

Katanya mereka yang ditahan itu didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Mereka kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Juru untuk siasatan lanjut menurut Seksyen 6(3) Akta Imigresen dan Seksyen 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/1963.

Kesemua pemilik premis yang diserbu itu pula disiasat menurut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1953/63 kerana melindungi pendatang tanpa izin, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain