suria

Bekas Penuntut Dihukum Penjara Enam Tahun, 10 Sebat

SHAH ALAM: Seorang bekas penuntut kolej swasta ibarat 'mati hidup semula' selepas terselamat daripada hukuman mati apabila ditawarkan pertuduhan pilihan, meskipun perbicaraan penuh telah diadakan.

Tidak menolak tuah, tertuduh, Chong Kok Wai, 26, dengan serta-merta mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Wira Mohtarudin Baki.

Chong mengaku bersalah memiliki 857 gram ganja, pada pukul 11.30 malam, 19 Julai 2008 di sekitat kawasan McDonalds, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, dekat sini.

Pertuduhan pilihan itu ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang pernah menuntut dalam jurusan kejuruteraan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat 10 kali.

Sebelum ini, dia didakwa atas pertuduhan mengedar ganja tersebut dibawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan perbicaraan, dadah itu ditemui di bawah tempat duduk penumpang hadapan kereta Mitshubishi Storm milik Chong.

Bagaimanapun, pada pembelaannya, Chong mendakwa, dadah itu kepunyaan rakannya yang turut ditangkap bersamanya, tetapi kemudiannya menjadi saksi pendakwaan.

Pada perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 10 saksi. Atas pengakuan salah itu, Mohtarudin memerintahkan supaya tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam tahun bermula daripada tarikh tangkap, 20 April 2008 dan disebat 10 kali.

"Awak bernasib baik kerana ditawarkan pertuduhan pilihan. Saya melihat keluarga awak daripada hari pertama perbicaraan telah memberikan sokongan kepada awak.

"Saya anggap kamu seperti mati hidup semula. Saya harap awak akan berubah dan memperbaiki diri agar menjadi manusia berguna," kata Mohtarudin pada penghakimannya.

Chong yang memakai baju kemeja warna biru tersenyum menerima hukuman itu dan memeluk peguamnya, Datuk Naran Singh.

Terdahulu, Naran merayu agar mahkamah meringankan hukuman tertuduh yang melakukan kesalahan itu kerana terjebak dengan pengaruh rakan sebaya.

"Tertuduh menyesal dan berjanji tidak akan melakukan kesalahan lagi di masa hadapan. Keluarganya juga berhasrat untuk menghantar tertuduh ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran seperti ke Australia," katanya.

Artikel Lain