suria

Tukang Kayu Bolivia Lepas Tali Gantung

SHAH ALAM: Seorang tukang kayu dari Bolivia, terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan dia daripada tuduhan mengedar kokain seberat 555.1 gram, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak membuat keputusan itu pada Khamis, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh Justiniano Escalante, 31 tahun.

Justiniano didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 8.15 pagi, 11 Oktober 2008 di bilik bernombor 1660, Hotel Le Meridian, nombor 2, Jalan Stesen Sentral, Brickfields, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Pada penghakimannya, Mohd Sofian berkata, Justiniano dikatakan telah mendaftar masuk bilik itu padaa 10 Oktober dan akan mendaftar keluar dua hari kemudian, tetapi tiada bukti yang dikemukakan di mahkamah yang dapat menunjukkan bahawa dialah yang telah menginap di bilik berkenaan.

"Hanya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikatakan dapat menunjukkan tertuduh keluar masuk bilik tersebut. Bagaimanapun, rakaman CCTV itu juga tidak dikemukakan di mahkamah, sebaliknya hanya dinyatakan secara lisan oleh saksi pendakwaan," katanya.

Selain itu, MOhd Sofian juga berkata, pihak pendakwaan telah gagal untuk memanggil dua orang pekerja hotel yang bertanggungjawab mengemas bilik itu yang dapat mengesahkan sama ada dadah itu telah sedia berada di bahagian dalam takungan air pam tandas sebelum tertuduh masuk ke bilik.

"Sebelum tertuduh masuk ke bilik itu, tidak dinyatakan sama ada tandas tersebut telah diperiksa dan penutup pam tandas diangkat untuk melihat jika dadah telah berada di situ.

"Oleh itu, mahkamah berpendapat pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan bahawa hanya tertuduh sahaja dapat memasuki bilik tempat dadah ditemui," katanya.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak bermaksud Justiniano dibebaskan sepenuhnya, kerana ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan terhadap kesan najis yang terdapat pada 94 palet yang berisi dadah itu didapati sepadan dengan DNA tertuduh.

Oleh itu, MOhd Sofian yang mendengar keterangan 19 saksi pendakwaan berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan memiliki dadah-dadah tersebut di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Seksyen tersebut membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Justiniano yang diwakili oleh peguam-peguam Patrick Dass dan Chan Chew Weng bagaimanapun memohon diberikan masa untuk dia menimbangkan sama ada mahu mengaku bersalah atau tidak terhadap pertuduhan tersebut.

Sehubungan itu, MOhd Sofian menetapkan kes itu disebut semula pada 25 Mei depan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mazlan Jamaludin.

Artikel Lain