suria

Sasaran Untuk Mengurangkan Kadar Kematian Melahirkan Anak

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menyasar untuk mengurangkan kadar kematian akibat melahirkan anak kepada 11 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup menjelang 2015 selaras dengan Matlamat Pembangunan Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sasaran itu diyakini dapat dicapai memandangkan kadar kematian ibu yang melahirkan di negara ini telah menunjukkan penurunan yang ketara sejak negara mencapai kemerdekaan iaitu 530 kes pada 1950 dan terkini 28 kes bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

"Kita adalah antara negara yang berjaya (mengurangkan kadar kematian). Dalam Mesyuarat Kesihatan Sedunia, negara dipuji kerana dapat menurunkan kadar kematian ibu dengan begitu drastik selepas merdeka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berjalan kaki "The 5KM Putrajaya Walk" di Taman Wetland di sini Khamis.

Program anjuran Lembaga Jururawat Malaysia dan Lembaga Bidan Malaysia itu diadakan sempena sambutan Hari Bidan Sedunia hari ini yang disambut bagi mengenang jasa bakti bidan di seluruh dunia dalam meningkatkan mutu penjagaan kesihatan ibu dan anak.

Liow berkata pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan sasaran mengurangkan kadar kematian ibu semasa melahirkan anak dicapai, termasuk memperbaiki sistem penyampaian, meningkatkan bilangan pakar, jururawat dan bidan sama ada di hospital atau Klinik Kesihatan di seluruh negara.

Beliau berkata sehingga tahun lepas, seramai 31,000 bidan telah dilatih termasuk 19,600 jururawat masyarakat manakala jumlah jururawat dalam negara pula adalah 92,700 orang di mana 65,000 daripadanya adalah daripada sektor awam.

Kemudahan di wad-wad bersalin turut ditingkatkan termasuk dari segi kelengkapan berteknologi tinggi yang boleh mengesan sebarang masalah atau kondisi yang berbahaya lebih awal supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil, katanya.

Liow turut menasihatkan kaum ibu agar menjalankan gaya hidup sihat, membuat lawatan berjadual di klinik, memastikan pengambilan ubat yang teratur kerana pengambilan ubat yang salah juga boleh menyebabkan kematian, serta melahirkan anak di hospital supaya tenaga pakar boleh membantu sekiranya menghadapi mereka sebarang kesukaran.

"Lebih ramai ibu-ibu yang melahirkan boleh diselamatkan sekiranya mereka tiba di hospital lebih awal. Kadang-kadang ada di antara mereka yang melahirkan anak di rumah, atau di luar bandar termasuk kawasan perkampungan Orang Asli," katanya.

Liow berkata kadar kematian selamat di negara ini telah dapat ditingkatkan kepada 98.6 peratus, di mana kelahiran-kelahiran tersebut adalah dibantu sama ada oleh pakar perubatan atau bidan.

Bagi kadar kematian bayi pula, beliau berkata seramai enam kes kematian bayi dicatatkan bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, yang merupakan antara kadar yang baik berbanding negara-negara lain.

Sementara itu dalam ucapannya Liow berkata Kementerian Kesihatan turut bercadang untuk menghantar delegasi bagi menyertai Kongres Persekutuan Bidan Antarabangsa di Durban, Afrika Selatan dari 19 hingga 23 Jun ini.- BERNAMA

Artikel Lain