suria

Ramai Bertanding Lebih Baik - Mohamad Sabu

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu sedia berhadapan dengan penyandang Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa bagi merebut jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan pusat bulan depan.

Mohamad berkata, beliau yakin ahli PAS akan membuat pilihan bijak sekiranya mereka mahu melihat perubahan berlaku dalam parti itu terutama bagi memastikan survival PAS.

"Saya sedia bersaing dengan Nasharudin, persaingan adalah perkara biasa... ini semua demi perjuangan.

"Tak ada apa yang perlu dirisaukan, kalau ahli sedia buat perubahan, insya-Allah (boleh menang)," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nasharudin yang mengesahkan akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden bagi penggal ketiga selepas mendapat pencalonan menggalakkan daripada PAS kawasan.

PAS akan mengadakan pemilihan parti itu pada Muktamar Tahunan ke-57 di Taman Melewar, Gombak pada 3 hingga 5 Jun ini.

Selain itu ditanya sama ada akan menarik diri dan memberi laluan kepada Nasharudin bagi mengelakkan perpecahan parti, Mohamad berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana percaya perkara seumpama itu tidak berlaku dalam PAS.

Menurutnya, pertandingan adalah satu persaingan sihat kerana akan menyaksikan lebih banyak calon menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

"Buat apa nak tarik diri, lebih ramai yang tawarkan diri lagi baik. Ini semua satu perjuangan demi masa depan parti," katanya.

Pada pemilihan 2009, Mohamad pernah mencuba nasib mencabar Nasharudin tapi tewas.

Bagaimanapun Mohamad berkata, beliau menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding kerana mahu membantu Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meraih sokongan pihak luar daripada parti.

Artikel Lain