suria

Polis Kelantan Tangani Kes Curi Kabel Telekom

BACHOK: Ketua Balai Polis di Kelantan diarahkan supaya memberi tumpuan terhadap kes kecurian kabel Telekom Malaysia Berhad (TM) di kawasan masing-masing yang dilaporkan semakin meningkat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata walaupun kes itu masih terkawal, ia banyak menyusahkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan pelosok kampung apabila talian kabel ke rumah mereka kecurian.

Beliau berkata tumpuan mestilah diberi keutamaan terhadap kampung terpencil yang seringkali menjadi sasaran pencuri kabel. "Kita mahu mereka bekerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam usaha membendung kecurian ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada seorang penduduk Mohd Nor Deraman, 50, di Kampung Baru, Repek di sini, Khamis.

TM Kelantan dikatakan menanggung kerugian RM4.32 juta untuk membaik pulih perkhidmatannya berikutan kadar jenayah kecurian kabel meningkat tahun lalu dan seramai 37,365 pelanggannya terjejas.

Pengurus Besarnya, Abd Rashid Che Othman berkata kadar jenayah kecurian kabel meningkat sebanyak 27 peratus dengan bilangan kes sebanyak 948 pada 2010 berbanding 747 pada tahun sebelumnya. -BERNAMA

Artikel Lain