suria

Lelaki Didakwa Bunuh Bayi

AMPANG: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya yang ditinggalkan bersendirian selama 10 jam di dalam kereta, dua minggu lalu.

Hooi Wai Chew, 34, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Low Hong Jun, yang berusia setahun tujuh bulan pada antara pukul 2 pagi dan 12 tengah hari 21 April lalu.

Dia didakwa meninggalkan mangsa di dalam kereta jenis Proton Satria di hadapan rumah nombor 4, Jalan 11, Taman Sri Watan, di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nazatul Shima Ab Wahab mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Majistret Aida mastura Mohamed Aman menetapkan kes itu disebut semula pada 24 Mei depan.

Di mahkamah sama, teman wanita Hooi, Miss Metta, 24, dihukum penjara selama tujuh bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di negara ini.

Aida Mastura memerintahkan hukuman terhadap tertuduh yang menangis sebaik sahaja hukuman dijatuhkan berkuatkuasa daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 21 April lalu.

Tertuduh didakwa tinggal melebihi setahun dan 14 hari dan kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.40 petang,hari yang sama di Hospital Ampang Pandan Mewah, di sini.

Pada rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah mempertimbangkan keadaannya yang baru kematian anak.

Artikel Lain