suria

Kajian Terhadap Sebab Wanita Di Sarawak Menjauhkan Diri Daripada Proses Membuat Keputusan

KUCHING: Sarawak akan menjalankan kajian terperinci terhadap sebab di sebalik penyertaan golongan wanita yang kurang memberangsangkan dalam proses membuat keputusan bagi sektor ekonomi, politik dan kesihatan di negeri ini. Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datin Fatimah Abdullah berkata bagaimanapun wanita Sarawak mencatatkan pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan, apabila lebih 30 peratus daripada mereka terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan.

Katanya ini berikutan pelantikan ramai wanita sebagai guru besar, pengetua dan pegawai kanan yang bertugas di peringkat pentadbiran.

"Sebagai permulaan, Seminar Wanita Profesional Sarawak akan diadakan untuk mendapatkan maklum balas dan membincangkan mengenai pelan tindakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di sini Khamis.

Beliau berkata seminar sehari itu akan diadakan pada 10 Mei ini di Pusat Penerangan Islam (IIC) di sini dan dibuka kepada semua penjawat awam gred 41 dan ke atas di peringkat negeri serta persekutuan.

"Kami akan merangka pelan tindakan jangka panjang untuk memastikan penyertaan wanita di Sarawak dalam ketiga-tiga sektor itu memenuhi jangkaan," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain