Ibu Dakwa Ditipu Anggota Polis Untuk Bebaskan Anak - Semasa | mStar

Ibu Dakwa Ditipu Anggota Polis Untuk Bebaskan Anak

PETALING JAYA: Seorang ibu mendakwa ditipu sebanyak RM13,000 oleh anggota polis yang menahan dua anaknya yang dipercayai terbabit dengan kes curi motosikal dengan alasan wang tersebut adalah bagi menjamin anak-anaknya.

Rani Rahmah Ismail, 59, berkata kedua-dua anaknya iaitu Mohamad Ramadan Mohamed Ali, 22, dan Mohd Rafe, 20, ditahan pada 8 Mac lepas di kediaman mereka di Batu Caves, Gombak.

"Seramai enam anggota polis mendakwa anak saya perlu ditahan untuk membantu siasatan tapi tidak memberitahu untuk kes apa mereka ditahan," katanya kepada pemberita di pejabat peguam di sini, Khamis.

Beliau berkata dua minggu selepas anak-anaknya ditahan, beliau menerima panggilan telefon daripada seseorang yang dipercayai anggota polis yang menahan kedua-dua anaknya dan meminta wang RM30,000 sebagai wang jaminan untuk membebaskan anak-anaknya.

"Masa mereka meminta RM30,000, saya mengatakan tidak mampu untuk membayar. Tiga hari selepas itu mereka telefon lagi dan meminta hanya RM13,000 dan seminggu selepas itu saya memberikan wang tersebut melalui akaun bank," katanya.

Rani Rahmah berkata selepas wang dimasukkan ke dalam bank, anggota polis tersebut meminta supaya beliau datang ke Balai Polis Rawang untuk membawa pulang anak-anaknya. Namun di balai polis berkenaan, anggota di situ menafikan bahawa anak-anaknya telah dibebaskan.

"Sehingga hari ini, anak-anak saya masih juga tidak dibebaskan walaupun wang telah diserahkan," tambahnya.

Seorang lagi ibu yang anaknya turut ditahan kerana kes yang sama, Maznah Yusof, 41, berkata beliau juga mendapat panggilan yang sama namun tidak melayannya.

Peguambela bagi keua-dua yang ditahan itu, Fadiah Nadwa Fikri berkata beliau menganggap perkara itu sebagai satu kegiatan rasuah di kalangan anggota polis dan akan memberi masa 24 jam kepada pihak polis untuk membebaskan kedua-dua anak guamnya.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, beliau tidak dimaklumkan tentang kejadian tersebut namun akan membuat siasatan lanjut. "Kami akan menyiasat tentang angota polis yang didakwa meminta wang jaminan tersebut," tambahnya. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain