suria

Yayasan Pelajaran Mara Salur Bantuan Kepada 20,000 Pelajar Miskin

SEREMBAN: Seramai 20,000 pelajar miskin bumiputera memperoleh manfaat menerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang berusaha memastikan agar mereka mendapat peluang yang lebih baik dalam kehidupan walaupun tidak mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pegawai Eksekutif YPM Prof Abdul Shariff Hamid berkata pelajar yang tercicir ini dibiayai melalui peruntukan Skim Pembiayaan Pendidikan MARA yang ditubuhkan kira-kira lima tahun lepas.

"Kita tidak ambil satu sen pun daripada pelajar bumiputera ini. Kita tanggung segala-galanya. Setiap pelajar bergantung kepada kursus yang mereka ambil, menelan belanja lebih kurang RM6,000 seorang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan lima buah komputer peribadi, termasuk pencetak, kepada guru besar Sekolah Kebangsaan Sikamat, Nadiah Chin Abdullah di sini, Rabu.

Abdul Shariff berharap sumbangan komputer itu akan membantu memberi pendedahan dunia Teknologi Maklumat, sekali gus membantu para pelajar mendapat keputusan lebih cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah yang akan datang.

Katanya bantuan yayasan kepada pelajar bumiputera disasar kepada mereka yang mendapat kelulusan sekurang-kurang lima kredit dalam SPM, keutamaan diberi kepada pelajar bumiputera, termasuk di Sabah dan Sarawak, yang ibu bapa mereka hidup di bawah paras kemiskinan.

Beliau berkata sebagai sebuah agensi milik kerajaan, YPM mahu para pelajar bumiputera ini menjalani masa depan yang lebih baik melalui kemahiran pertukangan, kecantikan atau bidang berkaitan walaupun gagal memasuki universiti.

"Strategi YPM untuk memastikan para pelajar bumiputera ini mempunyai ilmu yang setimpal dengan rakan mereka di universiti akhirnya berjaya. Data terbaru menunjukkan lebih kurang 70 peratus daripada mereka yang mendapat latihan pada tahun 2010 telah mendapat pekerjaan," katanya.

Abdul Shariff berkata pada tahun ini pula, seramai 4,000 pelajar lulusan SPM telah dihantar ke kolej-kolej swasta dengan pembiayaan YPM dan wang yang disalurkan oleh kerajaan ini tidak perlu dibayar semula. -BERNAMA

Artikel Lain