suria

Wanita Maut Ditikam Tunangnya Kerana Cemburu

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita ditemui mati, dipercayai ditikam oleh tunangnya di sebuah stesen minyak tempat wanita itu bekerja di Jalan Perusahaan Bukit Tengah di sini, Rabu.

Mayat Karimah Jusuh, 25, ditemui oleh rakan sekerjanya dalam bilik persalinan di stesen minyak itu pada pukul 8 pagi.

"Mangsa ditikam di beberapa bahagian di perut, leher, dada dan tangan, kami percaya kejadian itu bermotifkan cemburu," kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar.

Beliau berkata selepas kejadian itu, tunang wanita berkenaan yang bekerja di sebuah kilang di Perai dikatakan pulang ke rumahnya di Mengkuang Mak Sulong dan meminum racun.

Daripada maklumat yang diterima, lelaki itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata menurut rakan sekerja wanita itu, Karimah tiba tempat kerja pada pukul 7 pagi dan masuk ke bilik persalinan untuk menukar pakaian sebelum seorang lelaki berusia 35 tahun datang dan turut masuk ke bilik yang sama.

Beliau berkata rakan mangsa melihat lelaki itu keluar dari bilik persalinan berkenaan manakala Karimah tidak keluar sehingga pukul 8 pagi menyebabkan rakannya itu bertindak masuk ke bilik berkenaan untuk memanggilnya bagi memulakan kerja.

Rakannya itu sebaliknya menemui mayat Karimah yang lengkap berpakaian dan berlumuran darah, katanya.

Beliau berkata polis turut menemui sebilah pisau dalam bilik persalinan itu, dipercayai senjata yang digunakan untuk menikam wanita berkenaan.

Abdul Rahim berkata polis telah menahan tunang wanita itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ibu angkat wanita itu Aisyah Mohd, 62, berkata Karimah yang mempunyai dua anak dan tinggal di Kedah bersama keluarganya itu telah bercerai dengan suaminya tahun lepas.

Beliau berkata Karimah tinggal bersamanya di Putra Villa di Bertam dan telah bertunang dengan lelaki terbabit beberapa bulan lepas. -BERNAMA

Artikel Lain