suria

Tangkap 'Ikan Bilis' Penting Dalam Usaha Banteras Rasuah - Tunku Azwil

KUALA LUMPUR: Dalam usaha memerangi rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kebanyakan masyarakat biasanya melihat kepada usaha menangkap 'ikan jerung' tetapi sebuah NGO merasakan tindakan terhadap 'ikan bilis' juga sama pentingnya.

Kesannya terhadap masyarakat adalah jauh lebih besar, kata presiden Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia Tunku Azwil Tunku Abdul Razak.

"Kehidupan majoriti penduduk seperti penjaja dan peniaga kecil amat terjejas dengan tindakan oleh pegawai penguatkuasa yang rasuah. Mereka ini perlu dilindungi dan itulah sebabnya mengapa tindakan SPRM terhadap 'ikan bilis' perlu dan mempunyai kesan yang besar," katanya.

Tunku Azwil menyifatkan kritikan terhadap SPRM yang mengatakan bahawa ia hanya memburu 'ikan bilis' adalah tidak benar kerana agensi anti rasuah itu bertanggungjawab melindungi kepentingan masyarakat daripada peminta rasuah.

Dalam hal ini, beliau berkata usaha SPRM memerangi rasuah mencerminkan ketegasan kerajaan dalam membanteras rasuah, dan rakyat Malaysia juga mesti membantu usaha itu.

"Mengurangkan rasuah bermakna menurunkan kos menjalankan perniagaan, dan ia akan memberi kehidupan yang lebih baik dan harga barangan yang lebih murah," katanya.

Tunku Azwil memuji tindakan yang diambil oleh pasukan khas yang diketuai oleh SPRM dan dibantu Lembaga Hasil Dalam Negeri serta lima lagi agensi lain dalam menyerbu 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat pemegangan dan 24 syarikat berkaitan serta 25 premis Jabatan Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara.

SPRM menahan 62 pegawai kastam daripada pelbagai pangkat dan jawatan di bawah 'Operasi 3B' kerana didakwa terbabit dalam rasuah, pengubahan wang haram dan kesalahan lain.

Tunku Azwil juga menolak desakan supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed meletak jawatan dan menyifatkannya sebagai "satu tindakan yang benar-benar tidak tepat".

"Sokongan penuh perlu diberi. Cubaan untuk mendesak ketua pesuruhjaya meletak jawatan itu semata-mata untuk mengalih perhatian masyarakat daripada isu sebenar memerangi rasuah.

"Orang ramai tidak boleh terpengaruh dengan retorik seperti itu," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain