suria

Polis Tahan Pemandu Lori Curi Komputer Riba 1Malaysia

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang pemandu lori yang membuat laporan polis mendakwa lori dengan muatan 355 unit komputer riba 1Malaysia bernilai RM324,825 yang dibawanya dicuri ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada 7.30 pagi, 28 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pemandu lori berusia 45 tahun itu ditahan selepas membuat laporan mengenai kejadian itu pada hari yang sama setelah mendapati laporan itu mencurigakan.

Siasatan yang dijalankan mendapati pemandu lori itu bersama rakannya berusia 47 tahun merancang untuk mencuri muatan lori berkenaan, katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Abdul Rahim berkata susulan penahanan pemandu lori itu, polis membuat serbuan di dua lokasi iaitu Taman Sutera Prima dan Taman Tun Hussein Onn dan menemui semula semua komputer netbook berkenaan.

"Polis berjaya menemui semula kesemua netbook 1Malaysia yang dibawa dari Taman Tanjung Aman dan sepatutnya dihantar ke beberapa buah sekolah di Sungai Bakap dan Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) itu," katanya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati pemandu lori berkenaan memberi kunci pendua kepada rakannya untuk melarikan lori dan muatan yang dibawa sebelum menyembunyikannya.

"Pemandu lori berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah, curi dan rogol dan kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan," katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial telah menjalankan lima serbuan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) dalam tempoh sebulan lepas dan merampas 3,852 keping DVD haram serta 750 keping DVD lucah bernilai RM33,416.

Katanya sepanjang operasi itu juga, polis menahan lima lelaki berusia 20 hingga 30 tahun yang dipercayai pengedar DVD haram di sekitar kawasan SPT.

Mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 18(4) Akta Penapisan Filem 2001 dan Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Lain