suria

Polis Tahan 21 Remaja Curi Motosikal

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan 21 orang remaja yang kebanyakannya pelajar sekolah dan merampas 18 buah motosikal dalam Operasi Lejang yang dijalankan pada 25 hingga 30 April lepas di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata kesemua mereka yang berusia antara 13 hingga 25 tahun itu merupakan beberapa anggota kumpulan yang bergiat aktif dalam mencuri motosikal di sekitar SPT.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini, polis juga percaya berjaya menumpaskan beberapa kumpulan curi motosikal termasuk kumpulan yang dikenali sebagai Geng Sayuti Mengkuang dan turut merampas empat rangka motosikal sepanjang Operasi Lenjang itu.

"Kita menubuhkan satu pasukan khas untuk membanteras kumpulan-kumpulan berkenaan kerana kes curi motosikal dikenal pasti semakin meningkat di SPT dan dengan penahanan mereka, polis percaya dapat menyelesaikan 17 kes kecurian motosikal yang berlaku di sekitar SPT," katanya.

Katanya, modus operandi mereka ialah dengan menggunakan 'allen key' yang telah diubah suai dan mencuri motosikal sebelum menjual komponennya kepada pihak tertentu manakala rangkanya dibuang ke dalam sungai.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati empat orang daripada mereka yang ditahan itu positif dadah, manakala lima orang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan curi dan dadah.

Katanya kesemua mereka kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan.

Pada perkembangan lain, beliau berkata polis sedang mencari dua beradik bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota polis diserang sekumpulan lelaki di sebuah kedai minum di Permatang Pauh di sini 30 April lepas.

Dua beradik yang dikehendaki itu dikenali sebagai Kang Siak Thiam atau dikenali sebagai Ah Thiam, 26, dan Kang Siak Ang atau Ah Yong, 25, yang mempunyai alamat terakhir di No 4489, Mk 5, Permatang Ara di sini.

Pada kejadian minggu lepas, anggota polis berusia 29 tahun yang bertugas di Sabah itu pulang bercuti dan sedang minum bersama beberapa rakannya sebelum diserang sekumpulan lelaki yang bersenjatakan pedang samurai, kayu, rotan dan pisau.

Abdul Rahim berkata, setakat ini polis telah berjaya menahan empat lelaki berusia antara 20 dan 25 tahun dan merampas kesemua senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mengenali dua beradik terbabit diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain