suria

PKR Sarawak Cadang Tubuh Suruhanjaya Tanah Adat

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akan menubuhkan Suruhanjaya Tanah Sarawak untuk menyelesaikan masalah pertikaian tanah adat di negeri itu.

Pengerusi PKR negeri, Baru Bian berkata cadangan menubuhkan Suruhanjaya Tanah Sarawak merupakan salah satu manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Kita akan menunaikan janji-janji ketika kempen pilihan raya negeri dengan mengetengahkan masalah rakyat pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Isu seperti tanah adat dan kedudukan warganegara sementara antara isu pokok yang akan diselesaikan segera,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Tanah Hak Adat (NCR) berhubung kes tanah adat yang didakwa mempunyai unsur ‘berat sebelah’.

“Masalah rakyat di Ba’ Kelalan berkait isu warganegara sementara adalah masalah besar juga terutama yang tinggal di kawasan itu. Maka isu ini kami akan bawa dalam sidang DUN.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan kerajaan negeri penuhi segala janji mereka juga,” katanya.

Beliau mendakwa, setakat ini kerajaan negeri hanya mengotakan 15 hingga 20 peratus janji pilihan raya di negeri itu.

“Kami harap mereka akan penuhi segala janji dengan serius dan hanya sekadar retorik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Baru berkata ADUN Bukit Assek Wong Ho Leng daripada DAP akan dilantik sebagai ketua pembangkang pada Sidang DUN Sarawak.

“Saya telah menawarkan Ho Leng sebagai ketua pembangkang pada sidang DUN atas dasar demokratik memandangkan parti itu telah menang banyak kerusi pada pilihan raya baru-baru ini,” katanya.

Pada pilihan raya Sarawak April lalu, BN berjaya mengekalkan 2/3 majoriti dengan memenangi 55 kerusi berbanding pembangkang 15 kerusi manakala 1 kerusi milik Bebas.

DAP menang 12 kerusi manakala PKR tiga kerusi.

Artikel Lain